ROTI



Video

Sajak Roti: Ahmad Syahrul Wahid


Dari cerobong dapur
asap berjelaga berkepul
terkecur liur
harum berbau juadah tersohor.

Perut yang lapar
selera kian meggelepar
menanti roti dibakar
rangup dan segar
terhidang seumpama permaidani terhampar.

Kalau roti di depan mata
nafsu makan pun bergelora
berkeping-keping menggegar selera
perut pun kenyang terasa
tenang bersendawa.




Bagi pemilik iman di dada
sendawa itu tidak sempurna
masih ada beban di bahu mereka
warga miskin belum terbela
masih merintih lapar dahaga.

Bila begitu selamanya
kalimah syukur pun jelas tertera
di hati sanubari warga dunia
melangit damai dirasa
percikan iman segar berwarna.

(Dipetik daripada Sajak Roti Antologi Baik Budi Indah Bahasa,
Tingkatan 2, Dewan Bahasa dan Pustaka)
 
Maksud Rangkap

Rangkap 1
Roti yang dibuat di dapur membangkitkan selera. Selera itu bangkit kerana baunya yang harum.

Rangkap 2

Selera untuk makan roti bertambah apabila melihat roti dibakar, kemudian melihat roti yang rangup itu terhidang.

Rangkap 3

Apabila roti sudah dihidangkan di hadapan mata, selera kian meningkat. Protagonis makan roti itu sampai kenyang dan bersendawa.

Rangkap 4

Bagi orang yang beriman dan mempunyai perikemanusiaan yang tinggi, selepas berasa kenyang mereka teringat akan orang miskin yang tidak mendapat makanan seperti mereka. Orang yang beriman memikirkan tugas untuk membela orang miskin.

Rangkap 5

Jika banyak orang yang beriman, maka berkuranglah orang yang menderita di dunia ini. Orang yang susah akan bersyukur kerana mereka dibantu oleh golongan yang berada dan beriman.

Tema

Orang yang beriman, ketika kenyang tidak melupakan golongan miskin.

Persoalan

(a)   Apabila roti dibakar, baunya membangkitkan selera.

(b)   Ketika lapar manusia tidak dapat menahan nafsu makan.

(c)   Apabila makan makanan yang sedap, manusia akan makan sampai kenyang dan bersendawa.

(d)   Orang yang beriman tidak akan melupakan orang miskin ketika mereka berasa kenyang.

(e)   Bersyukur apabila mendapat sesuatu merupakan tanda keimanan.

Bentuk dan Ciri-ciri Sajak

(a)   Terdiri daripada lima rangkap.

(b)   Rangkap pertama mempunyai empat baris dan rangkap kedua hingga kelima mempunyai lima baris.

(c)   Bilangan katanya dua hingga enam patah kata sebaris.

(d)   Terdiri daripada lima hingga empat belas suku kata sebaris.

(e)   Bentuknya bebas.


 Unsur Gaya Bahasa dan Keindahan Bunyi, Nada

(a)   Hiperbola. Contohnya, nafsu makan pun bergelora; melangit damai dirasa.

(b)   Metafora: Contohnya, percikan iman.

(c)   Personifikasi. Contohnya, selera kian menggelepar.

(d)   Simile. Contohnya, terhidang seumpama permaidani terhampar.

(e)   Asonansi. Contohnya, Bagi pemilik iman di dada (perulangan vokal i)

(f)    Aliterasi. Contohnya, Bila begitu selamanya (perulangan konsonan b).

(g)   Rima akhir bagi rangkap pertama ialah ialah abaa dan rima akhir bagi rangkap kedua hingga kelima aaaaa.

Nada

Didaktik.

Nilai dan Pengajaran

Nilai

(a)   Kesabaran.

(b)   Baik hati.

(c)   Kesyukuran.

(d)   Keimanan.

(e)   Kesederhanaan.


Pengajaran

(a)   Kita hendaklah bersabar ketika menunggu untuk mendapatkan sesuatu.

(b)   Kita hendaklah memikirkan orang lain agar orang lain turut mendapat rezeki.

(c)   Kita hendaklah ingat akan keadaan orang lain yang kurang bernasib baik.

(d)   Kita hendaklah melatih diri agar menjadi orang beriman.

(e)   Sebagai manusia kita mestilah bersyukur atas nikmat kurniaan Tuhan.


*Kredit Video 
Cikgu Qamarul : https://www.youtube.com/watch?v=BHZHX9FuLV8

0 comments:

Post a Comment