Sinopsis (Novel Sejambak Bakti)



SINOPSIS

Novel Sejambak Bakti ini mengisahkan usaha sekumpulan murid dan guru Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan membangunkan koperasi sekolah. Dalam usaha mereka membangunkan koperasi sekolah, terselit pelbagai kisah suka dan duka dan konflik sesama sendiri. Nilai-nilai murni dalam novel ini dipaparkan dengan jelas oleh penulis, antaranya sikap amanah, bertanggungjawab dan jujur dalam sesuatu pekerjaan, terutama sekali apabila murid menguruskan koperasi sekolah. Peranan guru sebagai pendorong dan pemberi nasihat kepada murid dalam novel Sejambak Bakti dipaparkan sebagai panduan kepada murid supaya dapat memilih nilai positif dalam kehidupan seharian.

Kisah bermula dengan situasi yang digambarkan di koperasi sekolah sewaktu Harun, Swee Lan dan Saridevi bertugas sebagai Ahli Lembaga Pengarah koperasi. Kedai koperasi itu dikendalikan oleh Lembaga Pengarah dan ditubuhkan kira-kira lima tahun yang lalu. Seorang pembantu kedai tersebut bersama-sama tiga orang ahli lembaga pengarah begitu sibuk melayani pembeli-pembeli yang berkehendakkan layanan segera. Mereka melayani pembeli-pembeli dengan sabar dan baik. Meskipun didesak dan disindir, senyuman masih juga terukir di bibir. Semasa pembeli sedang sibuk membeli barang keperluan sekolah, seorang daripada murid yang berasak-asak di situ cuba mengambil sebatang pen dan terus memasukkan pen tersebut ke dalam saku seluarnya. Harun menegur perbuatan tersebut dan murid itu  tersengih selamba dan segera mengeluarkan wang untuk membayar harga pen yang diambilnya. Saridevi mengingatkan rakan-rakan yang bertugas agar betul-betul mengawasi tindak tanduk pembeli.

Tidak lama kemudian, Mesyuarat Lembaga Pengarah diadakan untuk memilih jawatankuasa. Dalam mesyuarat ini Razali terpilih sebagai Naib Setiausaha. Pemilihan Razali sebagai Naib Setiausaha ini telah menimbulkan perasaan cemburu dan dendam dalam hati  Munir. Dia turut disokong oleh dua orang kawannya iaitu Leong dan Silvam. Mereka merancang untuk membalas dendam terhadap Razali. Mereka jengkel melihat Razali yang mesra dengan Ramlah, Swee Lan dan Saridevi. Cita-cita dan harapan seseorang itu terpendam di lubuk hati. Dia akan berusaha dengan pelbagai cara untuk mencapai cita-citanya itu. Demikian juga Munir, Silvam, dan Leong. Sebenarnya mereka mempunyai cita-cita dan harapan yang sama. Disebabkan itulah tiga serangkai itu begitu baik perhubungannya seperti isi dengan kuku. Jika sungai, seperti aur dengan tebingnya. Sewaktu pulang dari sekolah hari itu, tiga serangkai tadi menunggu Ramlah, Swee Lan, dan Saridevi keluar dari kedai koperasi. Ketika gadis-gadis itu sampai di tempat mereka menunggu, Munir memberanikan diri menegur Ramlah dan mengajaknya menonton filem. Ramlah menolak dengan baik. Tetapi Munir sakit hati dengan sikap Ramlah yang tidak menerima ajakannya.

Kedai Koperasi ini membuat perancangan untuk memajukan perniagaan tidak terhad kepada jualan sahaja . Dengan kerjasama PIBG sekolah, mereka membina bangsal ternakan ayam telur itu terletak di hujung kawasan Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Bangsal itu diperbuat daripada kayu, beratapkan daun nipah. Panjangnya kira-kira 50 meter dan lebar 20 meter. Bangsal itu dibina oleh PIBG sekolah tersebut secara gotong-royong. Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah itu amat berbangga dan berterima kasih terhadap sokongan tersebut. Ibu bapa pula menyedari sokongan itu patut diberikan untuk menanam semangat berkoperasi dan berniaga kepada anak-anak mereka. Zaman sekarang, berniaga dan berkoperasi merupakan sumber kehidupan yang lumayan, tidaklah mengharapkan jawatan-jawatan kerajaan semata-mata. Razali, Cikgu Zulkifli, Cikgu Hassan, Swee Lan, Saridevi, dan beberapa orang ahli lembaga pengarah yang lain, begitu sibuk menjalankan tugas masing-masing.
Pada waktu yang sama, di suatu tempat lain pula, Ramlah, Cikgu Robeah, Rozita, Harun, Silvam, dan Leong serta beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah itu sedang mengemaskan bahan bacaan di dalam sebuah bilik. Bilik itu telah dikhaskan oleh pengetua sebagai tempat membaca bahan-bahan bacaan ringan seperti akhbar, majalah, dan risalah. Bilik itu dinamakan bilik bacaan. Murid-murid sekolah itu sama ada pada waktu rehat atau pada waktu petang dapat membaca bahan-bahan tersebut untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Bilik tersebut dikelolakan oleh ahli koperasi sekolah. Cikgu Zulkifli bertanyakan tentang Munir yang tiada di situ. Silvam memberitahu cikgu, Munir berada di padang bermain bola. Cikgu Zulkifli menggelengkan kepala.

Cikgu Zulkifli ke padang mencari Munir. Munir berjalan longlai keluar dari padang. Dia berhenti  berteduh di bawah pokok ru sambil mengelap peluhnya. Dari arah bangunan sekolah kelihatan Cikgu Zulkifli berjalan menuju ke tempat Munir berehat. Cikgu Zulkifli memberikan nasihat kepada Munir. Sepatutnya dia menolong menjalankan kegiatan koperasi sekolah kita. Munir telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Munir berjanji tak ponteng lagi.

Munir bukan sahaja tidak menjalankan tugas di koperasi, malahan dia juga selalu mengacau rakannya di dalam kelas sewaktu cikgu sedang mengajar. Kisah kelemahan disiplin Munir bukan sahaja diketahui oleh Cikgu Zulkifli dan ahli lembaga pengarah koperasi sekolah itu, malah guru-guru yang lain termasuk juga Cikgu Saiful. Akan tetapi Cikgu Zulkiflilah yang begitu kecewa kerana Munir merupakan ahli lembaga pengarah koperasi. Cikgu Zulkifli khuatir sekiranya disiplin Munir tidak dibaiki mungkin banyak ahli koperasi dan murid yang lain akan bersungut. Disebabkan itulah Cikgu Zulkifli berunding dengan guru kaunseling atau guru kerjaya sekolah itu, Cikgu Muniam supaya menyiasat dan membimbing Munir. Hari itu Munir dipanggil oleh Cikgu Muniam ke bilik kerjaya. Dia bersama-sama Cikgu Zulkifli menunggu Munir di situ.

Munir tidak puas hati kerana dia telah dipanggil untuk sesi kaunseling. Dia beranggapan Razali yang telah membuat aduan kepada cikgu kaunseling. Petang itu mereka bertigamembuat rancangan untuk memukul Razali. Mereka melihat Razali sedang mengayuh basikal melalui jalan itu menuju ke arah mereka. Jalan itu ialah jalan menuju ke rumah Razali. Razali menggunakan basikal untuk berulang-alik ke sekolah. Mereka menunggu kedatangan Razali dengan reaksi yang penuh dendam untuk bersemuka dengannya. Sesaat mereka rasakan sehari kerana Razali mengayuh basikalnya dengan perlahan. Dia mengayuh dengan tenang seperti hari-hari biasa. Akhirnya sampailah Razali di tempat yang ditunggu oleh Munir dan rakan-rakannya. Razali kehairanan melihat anak-anak muda itu menahannya. Dia turun dari basikalnya. Dia melihat wajah- wajah itu seperti hendak memukulnya. Petang itu Razali telah dipukul dengan teruk . Kejadian itu menimbulkan kemarahan kepada Pak Zakarian, ayah tiri Razali yang memang tidak suka akan Razali. Dia mengatakan Razali memang suka bergaduh. Mak Sopiah, ibu Razali memenangkan anaknya.

Di sekolah, Pengetua telah mendapat aduan tentang perbuatan Munir yang memukul Razali. Cikgu Syamsudin ( Pengetua ) telah memanggil mereka bertiga ke Bilik Pengetua. Cikgu Syamsudin merotan punggung Muniir sebanyak dua kali. Pukulannya agak kuat menyebabkan muka Munir berkerut menahan kesakitan. Kemudian, rotan itu singgah di punggung Leong dan Silvam pula. Masing-masing dikenakan rotan sekali. Cikgu Syamsudin memberikan amaran, jika mereka bersalah lagi, jawatan sebagai ahli lembaga pengarah koperasi sekolah ini akan dilucutkan.


Pada masa yang sama Cikgu Zulkifli membawa berita gembira buat Razali. Cikgu membaca surat yang ditujukan kepada Razali. Razali  telah terpilih mengikuti kursus koperasi bersama-sama dengan wakil koperasi-koperasi sekolah seluruh Malaysia. Kursus ini akan diadakan pada 24 Julai yang akan datang, bertempat di bangunan Maktab Kerjasama Malaysia, Petaling Jaya, Selangor. Semua ahli lembaga koperasi mengucapkan tahniah kepada Razali.

Sekembalinya dari kursus, Razali telah diminta untuk melaporkan hasil kursus di dalam mesyuarat koperasi. Razali bangun dan terus berucap, menyampaikan pengetahuan yang diperoleh tentang koperasi ketika menghadiri kursus itu. Koperasi merupakan suatu badan yang boleh menggembleng penyatuan ahli dalam sesuatu institusi atau golongan tertentu untuk meningkatkan daya usaha dan pendapatan. Sesebuah koperasi merupakan tunjang bagi sesuatu kelompok masyarakat yang ingin membangunkan institusinya.

Pengetua mengumumkan koperasi sekolah akan bertanding dalam Pertandingan Koperasi Terbaik anjuran ANGKASA. Persetujuan untuk turut bersama-sama dalam pertandingan koperasi sekolah-sekolah itu amat menggembirakan mereka. Setiap pertandingan mesti ada persediaannya. Kalah atau menang bukanlah sesuatu yang menjadi matlamat sehingga menimbulkan kekecohan. Yang penting usaha bersungguh-sungguh untuk memajukan koperasi itu, seperti pendapat Swee Lan dalam mesyuarat yang lalu. Di samping membuat persediaan pertandingan tersebut secara tidak langsung koperasi mereka juga akan lebih teratur dan kemas. Demikianlah juga matlamat pertandingan yang diadakan oleh pihak ANGKASA terhadap koperasi-koperasi sekolah itu. Setiap petang, ahli lembaga pengarah bergilir-gilir mengurus projek yang telah dilaksanakan oleh mereka. Bangsal ternakan ayam mereka sentiasa dijaga rapi. Begitu juga dengan bilik bacaan.

Dalam diam Munir merancang untuk membuat kacau. Dia mencuri kunci bilik koperasi ketika semua orang sibuk bergotong royong. Pada malamnya dia menceroboh masuk ke dalam koperasi dan menyepah-nyepahkan barang. Pada esoknya, semua ahli lembaga koperasi yang bertugas terkejut. Alat tulis seperti pensel, pen, pembaris, dan getah pemadam berselerak memenuhi lantai. Pakaian sukan pula seperti baju dan seluar berlonggok dan terperonyok di atas meja dan di atas lantai. Mereka hanya mampu menggelengkan kepala. Perasaan kesal dan kecewa menyelubungi diri mereka. Mengapa tidak? Dua minggu lagi koperasi mereka akan diadili. Para hakim akan datang untuk melihat pengurusan koperasi itu.

Dua orang anggota polis yang berpakaian kemas masuk ke kedai koperasi. Mereka mengambil tindakan segera setelah dilaporkan oleh Cikgu Zulkifli mengenai perkara tersebut. Kedua-dua orang anggota polis itu terus memeriksa bangunan kedai koperasi seperti pintu, dinding, tingkap, atap, dan sebagainya. Ternyata tidak terdapat tempat yang rosak atau lubang yang boleh dimasuki. Setelah mereka puas hati memeriksa bangunan itu, lantas mereka keluar menemui Cikgu Zulkifli dan Razali yang menunggu di luar bangunan.

Munir membuat fitnah dengan mengatakan Razali yang menceroboh koperasi. Munir juga memberitahu Pak Zakaria. Razali dimarah dengan teruk dan dihalau dari rumah. Mak Sopiah membela Razali. Berlaku ketegangan dalam keluarga Razali. Razali sangat berdukacita dengan nasibnya yang malang. Dia mengenang nasibnya yang tidak mengenalinya bapa kandungnya.

Cikgu Zulkifli dan Cikgu Syamsudin menyusun strategi untuk menangkap penceroboh koperasi. Selepas itu, Cikgu Zulkifli bergegas ke pejabat untuk membuat pengumuman. Cikgu Zulkifli memegang pembesar suara itu. Suaranya bergema ke seluruh bangunan. Semua guru diminta memeriksa beg dan pakaian murid seorang demi seorang. Guru lelaki memeriksa murid lelaki. Guru perempuan pula memeriksa murid perempuan.

Akhirnya penceroboh sebenar dapat ditangkap. Munir didapati bersalah dan dikenakan hukuman rotan di perhimpunan sekolah. Mengikut keputusan mesyuarat guru disiplin sekolah itu, Munir akan dirotan di hadapan perhimpunan sebanyak tiga kali. Hukuman itu terpaksa dilakukan demi menjaga disiplin sekolah itu. Diharapkan dengan hukuman itu akan menginsafkan Munir daripada melakukan lagi perkara-perkara yang tidak baik. Diharapkan tindakan itu menjadi peringatan kepada murid yang lain. Sebelum hukuman itu dijalankan, kedua-dua ibu bapa Munir diberitahu terlebih dahulu. Mereka memberikan keizinan dengan harapan disiplin Munir akan berubah kerana ternyata di rumah juga kelakuannya tidak terkawal, meskipun ayahnya cuba membentuk perangainya.

Selepas itu Munir berubah sikap. Tiba-tiba dalam suasana yang amat memilukan itu, Munir menghampiri Razali dan menghulurkan tangannya. Razali menyambut tangan itu. Mereka bersalaman. Munir memohon maaf kepada Razali. Razali mengangguk-angguk. Ketika itu juga tidak tertahan rasa pilu di hatinya, segera pula dia memeluk tubuh Munir. Mereka berpelukan. Air mata Razali juga berderaian di pipinya. Semua murid dan guru yang menyaksikan peristiwa itu turut terharu. Setelah sekian lama mereka berpelukan, lalu kedua-duanya berjalan masuk ke dalam barisan semula.

Dia menyesal akan kenakalan sikapnya terhadap Razali. Dia telah dikenakan hukuman gantung persekolahan. Peperiksaan sudah hampir menjelang tetapi dia digantung persekolahan. Razali menawarkan diri untuk membantu mengajar Munir pada sebelah petang.

Munir telah kembali ke sekolah setelah menjalani hukuman. Selama itu pula dia dapat mengikuti pelajaran di sekolah melalui Razali, anak muda yang kehilangan ayah itu. Budi dan bakti Razali tidak akan dilupakan oleh Munir buat selama-lamanya. Pada hari itu juga tiga orang hakim Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah dari ANGKASA datang menghakimi Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Mereka disambut oleh pengetua, Cikgu Zulkifli, dan Razali. Ketiga-tiga orang hakim itu masuk ke kedai koperasi. Mereka meneliti barang jualan, buku-buku akaun, baucar, resit, dan sebagainya. Pada hari itu, saat yang sungguh bermakna apabila Koperasi Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Koperasi Terbaik.  Ibu bapa turut hadir pada hari itu untuk menyaksikan penyampaian hadiah.

Tidak disangka-sangka, pada hari itu juga Razali akan dapat bertemu ayah kandungnya yang telah lama dicari-carinya. Ayah kandungnya juga merupakan ayah Ramlah. Suasana yang cukup mengharukan itu disebut oleh Cikgu Syamsudin sebagai jasa koperasi yang sangat besar dalam mempertemukan dua orang insan yang terpisah selama 16 tahun.

17 comments:

panjangnye,ni bkn sinopsis,ni kqrangan, sape lah yg buat

This comment has been removed by a blog administrator.

Wei panjang ni kasi sikit boleh ka

Tolong kasi pendek pls

Brug banyak coi sheeesh

Sikit be like....😛😓

5 lagi 🙌🙌🙌🙌🙌😫

Gile lah aku baca sambil berbaring cok hahaha

siapa tulis ini!Cikgu mau kami tulis a

Post a Comment